Bekas ketua jurulatih TRW Kelantan, Choi Moon-sik berjaya memenangi kes tuntutan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang ditujukan kepada bekas majikannya.

Perkara ini dikongsikan oleh ejen Moon-sik iaitu Leo Jeong menerusi laman instagram baru-baru ini dimana beliau dan juga klien akan mengambil tindakan lanjut selepas keputusan FIFA memihak kepada mereka.

Choi Moon-sik

Sebelum ini, Jeong dan Choi Moon-sik mengambil keputusan untuk memfailkan aduan kepada FIFA setelah tidak berpuas hati dengan pengurusan pasukan mengenai pemecatannya sebagai ketua jurulatih pasukan.

“Pasukan ini nampak hebat dari luar tetapi bahagian dalaman mereka lebih teruk daripada pasukan amatur. Mereka telah memecat jurulatih dan memilih pemain untuk perlawanan hari ini dan sebelum ini tanpa merujuk kepada ketua jurulatih.

“Tambahan pula, ada pemain tidak menerima gaji selama dua bulan dan ketika perlawanan di tempat lawan (away), mereka menaiki bas lebih 10 jam dan langsung tidak diberi makan. Semuanya seperti pasukan amatur tetapi jurulatih telah melakukan yang terbaik,” kata Jeong.

Choi Moon-sik
Sumber Gambar: TRW Kelantan

Beberapa bekas pemain seperti Nurshamil Abd Ghani turut membuat pendedahan menerusi laman media sosial miliknya dimana pemain itu menegaskan pihak pengurusan meminta RM50,000 kepadanya sebagai syarat untuk menamatkan kontrak.

Kelantan kemudiannya memberi penjelasan mengenai perkara tersebut dengan menyatakan Nurshamil masih mempunyai baki kontrak sehingga November 2024.

“Dalam kes penamatan kontrak sebelum tamat tempoh oleh pemain, sama ada secara bersama mahupun secara sebelah pihak, Kelab berhak untuk menuntut nilai kompensasi bersamaan nilai gaji untuk baki tempoh kontrak pemain tersebut. Dalam kes ini, pemain tersebut masih mempunyai lapan belas (18) bulan (Jun 2023 – November 2024) baki tempoh kontrak lagi.

“Sungguhpun begitu, sebenarnya nilai RM50,000 yang dituntut tersebut adalah hanya lebih kurang separuh sahaja daripada nilai baki kontrak yang berhak dituntut oleh Kelab. Ini sebenarnya menunjukkan betapa Pemain tersebut adalah bernilai dan penting kepada Kelab dimana kepergian beliau bakal merencatkan persiapan Kelab untuk pusingan kedua liga,” dipetik dari kenyataan pihak kelab.